Kelab gergasi Singapura, Lion City Sailors (LCS) ceria apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Singapore Premier League (SPL) untuk musim kedua berturut-turut.
Meskipun diikat tanpa jaringan dengan Tampines Rovers dalam aksi terbaru SPL baru-baru ini, itu sudah cukup buat anak buah Jesus Casas bergelar juara liga dengan baki satu perlawanan.
Lebih menarik, ini bukan saja trofi pertama bekas jurulatih Iraq itu bersama The Sailors. Malah, ini juga trofi kedua Casas sebagai ketua jurulatih.
Sebelum ini, bekas jurulatih Watford itu membantu Iraq muncul juara Arabian Gulf Cup pada tahun 2023.
Keputusan ini menyaksikan LCS layak secara merit ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2026/27.
Slot naib juara dijangka menjadi rebutan dua pasukan iaitu Tampines Rovers dan Albirex Niigata Singapura.
Seandainya Albirex berjaya menewaskan Young Lions pada Isnin, jurang mata antara kedua-dua pasukan bakal menjadi dua mata. Ini menjadikan aksi terakhir liga pada 10 Mei sebagai penentu siapa naib juara SPL musim ini.
Slot ini menjadi rebutan kerana naib juara SPL juga akan layak secara merit ke ACL2 musim hadapan.