Pemenang 7 kali Ballon D’or, Lionel Messi secara rasmi bakal meninggalkan Paris Saint Germain (PSG) setelah hampir dua musim di sana.
Perpindahan pemain kebanggaan Argentina ini ke kota Paris jelas gagal membawa impak yang diharapkan kepada pasukan apabila hasrat untuk menjulang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) masih terkubur.
Terbaru, mereka sekali lagi ditunjukkan jalan keluar oleh gergasi Jerman, Bayern Munich pada pusingan kalah mati tahun ini.
Menerusi satu kenyataan oleh wartawan terkemuka Eropah, Fabrizio Romano, pemain berusia 35 tahun itu dilaporkan akan meninggalkan pasukan pada hujung musim ini.
Beliau sebelum ini didenda oleh pasukan kerana telah pergi ke Arab Saudi bersama keluarga tanpa pengetahuan kelab.
Messi dikenakan hukuman penggantungan selama dua minggu oleh PSG atas kesalahan yang dilakukannya.
Perkara ini dianggap menjadi helah buat bekas bintang Barcelona yang dilihat sudah tawar hati untuk terus beraksi di sana.
Ketika ini, Messi dikatakan bakal kembali ke Barcelona dengan beberapa tawaran lumayan lain sudah pun menanti buat lagenda bola sepak dunia tersebut.