PSG Kenakan Penggantungan Ke Atas Lionel Messi
Ligue 1
Paris Saint-Germain
Advertisements

Kapten Argentina, Lionel Messi dikenakan penggantungan dua minggu dan denda oleh kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) susulan tindakannya meninggalkan kelab tanpa kebenaran. Dengan tindakan disiplin tersebut, ia juga menandakan jodoh legenda Barcelona itu dengan Les Parisiens bakal berakhir.

Kelab berbuat demikian selepas Messi dikesan meninggalkan kelab selama dua hari bagi memenuhi peranannya sebagai duta pelancongan Arab Saudi. Walaupun beliau sudah meminta perlepasan dengan PSG, kelab tidak meluluskan permohonannya lebih-lebih lagi dengan saingan Ligue 1 belum berakhir.

Dengan tindakan tersebut, Messi tidak akan berlatih mahupun beraksi dalam dua perlawanan PSG iaitu menentang Troyes pada Ahad ini dan Ajaccio (13 Mei).

Advertisements

Tindakan sebegini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana bagi kelab, ia hanya proses disiplin biasa. Dan ia juga memberi mesej kepada pemain-pemain ternama termasuk Messi bahawa sebarang perlanggaran disiplin tidak akan diterima dengan hukuman menanti pelakunya bila mereka kembali ke PSG.

Tetapi pada masa sama, ia mula menyemarakkan lagi spekulasi kepulangan Messi ke Barcelona. Dengan kontraknya bakal berakhir pada akhir musim, kem Barca berusaha untuk membawanya kembali ke Nou Camp.

Begitupun, Barca masih dibelenggu isu kewangan yang serius. Dan La Liga menerusi Presidennya, Javier Tebas mengingatkan kelab bahawa mereka perlu mengurangkan kos kewangan mereka secara signifikan sekiranya mahu membawa pulang Messi.

Advertisements

Selain Barcelona, Messi juga turut dikaitkan dengan penghijrahan ke Major League Soccer (MLS) dan Timur Tengah. Malah, sebulan lepas, kelab Al-Hilal dikatakan bersedia menawarkan pakej kontrak berjumlah AS$350 juta (RM1.5 bilion) untuknya beraksi di Arab Saudi.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram