Tonton aksi China vs Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa secara langsung dari Guandong, China.
Perlawanan ini pastinya menjadi peluang buat anak buah Tan Cheng Hoe untuk menguji kemampuan mereka apabila berdepan lawan yang memiliki kedudukan lebih baik dalam ranking dunia.
Berdasarkan kemas kini ranking FIFA, China kini menghuni tangga ke-96 dunia, manakala Malaysia berada di kedudukan ke-133, sekali gus memperlihatkan perbezaan kedudukan antara kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, skuad negara mempunyai bekalan keyakinan selepas menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga dengan rekod tiga kemenangan dan satu keputusan seri tanpa sebarang kekalahan.
Lebih menarik, Harimau Malaya turut berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam keempat-empat perlawanan sepanjang kejohanan tersebut, termasuk ketika menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Namun begitu, cabaran kali ini dijangka berbeza memandangkan beberapa pemain yang menjadi sebahagian daripada kempen tersebut tidak dapat bersama skuad negara akibat komitmen kelab dan masalah kecederaan.
Antara perkara yang menjadi perhatian adalah ketiadaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), termasuk Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva, selain beberapa pemain Selangor yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Situasi tersebut menyaksikan Tan Cheng Hoe memanggil beberapa pemain tambahan, termasuk Syafiq Ahmad, Dominic Tan dan Suhaimi Husin bagi melengkapkan kekuatan pasukan menjelang dua aksi persahabatan di China.
Dalam pada itu, China juga hadir dengan misi untuk bangkit selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi terdahulu, termasuk kekalahan besar 0-5 kepada Palestin dan 0-1 kepada Tajikistan.
Ketua jurulatih China, Shao Jiayi turut melakukan perubahan besar terhadap senarai pemain apabila membawa masuk beberapa nama berpengalaman bagi memperkuatkan pasukannya menjelang pertemuan dengan Malaysia.
Tan Cheng Hoe sendiri mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang rendah kemampuan lawan meskipun China hadir dengan keputusan yang kurang memberangsangkan sebelum ini.
“Memang kita tahu keputusan perlawanan yang lepas mereka kalah tiga perlawanan berturut-turut dan kita tahu juga kali ini, jurulatih mereka membawa perubahan besar, ada rombakan secara besar-besaran, membawa pertukaran pemain, lebih kurang 16 pertukaran pemain itu,” katanya.
Dari sudut rekod pertemuan, Malaysia masih belum berjaya menewaskan China dalam lima pertemuan terakhir sejak 2004 dengan catatan tiga kekalahan dan dua keputusan seri.
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada September 2023 menyaksikan Harimau Malaya berjaya mengikat China 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu.
Justeru, pertemuan kali ini membuka peluang buat skuad negara untuk memburu keputusan positif selain menguji kemampuan barisan pemain yang diberikan kepercayaan oleh Tan Cheng Hoe.
Selepas menentang China, Harimau Malaya akan meneruskan tugasan di Guangdong dengan berdepan Yemen pada 17 November 2026 dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1.
Aksi China vs Malaysia dijadualkan berlangsung pada jam 8.00 malam waktu Malaysia.


