ACL2: Persib Bandung Atasi Viettel, Dua Kad Merah Curi Tumpuan
MakanBola
Persib Bandung

Persib Bandung meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) apabila menewaskan kelab Vietnam, Viettel FC, di laman sendiri.

Persib yang dibimbing Igor Tolic menurunkan barisan terkuat dengan mempertaruhkan Mariano Peralta sebagai sandaran utama di jentera serangan, manakala Mark Klok diberi kepercayaan menyarung lilitan kapten.

Sementara itu, Viettel yang kini dibimbing Velizar Popov turut menurunkan barisan terbaik dengan mempertaruhkan Ribamar di jentera serangan bagi memburu jaringan di laman lawan..

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, Persib memulakan perlawanan dengan cukup baik apabila mengambil inisiatif mengawal permainan sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan.

Meskipun melancarkan serangan bertali arus, Persib masih gagal memecah kebuntuan berikutan penyudah yang kurang berkesan di hadapan gawang lawan.

Ketika perlawanan berbaki beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama, Persib dihadiahkan sepakan penalti selepas Mariano Peralta dijatuhkan oleh pertahanan Viettel di dalam kotak penalti. Peralta yang ditugaskan mengambil sepakan itu tenang menyudahkan peluang tersebut untuk meletakkan Persib di hadapan 1-0, sekali gus menutup babak pertama dengan kelebihan buat tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Persib meneruskan tekanan ke atas kubu Viettel menerusi larian pantas di samping hantaran ke hadapan yang agresif bagi menambah jaringan.

Perlawanan semakin tegang apabila Viettel terpaksa meneruskan aksi dengan 10 pemain pada minit ke-67 selepas Paulinho dilayangkan kad kuning kedua yang menyaksikan pemain itu diperintahkan keluar padang dengan layangan kad merah.

Kelebihan jumlah pemain itu bagaimanapun hanya bertahan selama tujuh minit apabila Persib turut terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mark Klok dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari pemain Viettel, sekali gus menyaksikan kapten pasukan itu dilayangkan kad merah dan diperintahkan keluar padang.

Pemain gantian, Menalo hampir menambah jaringan pada minit ke-85 buat Persib dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol namun percubaannya terkena tiang gol.

Keputusan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus memastikan Persib meraih tiga mata berharga serta mencatat kemenangan kedua dalam saingan ACL2 musim ini. Pada aksi pembukaan sebelum ini, Persib turut mencipta kejutan apabila menewaskan FC Seoul di laman lawan.