ACL2: Persib Bandung Kejutkan FC Seoul
MakanBola
Persib Bandung

Wakil Indonesia, Persib Bandung memulakan saingan Liga Juara Juara Asia Dua (ACL2) dengan langkah kanan apabila mencipta kejutan menewaskan kelab Korea Selatan, FC Seoul 1-0 di gelanggang lawan.

Persib Bandung yang dibimbing jurulatih dari Croatia, Igor Tolic, menurunkan barisan terbaik dalam usaha memburu kemenangan dengan mempertaruhkan gandingan Balsa Sekulic dan Luka Menalo di jentera serangan.

Sementara itu, FC Seoul hanya menurunkan seorang pemain asing dalam kesebelasan utama, iaitu Leonardo Acevedo yang diberi tanggungjawab mengetuai jentera serangan.

Perlawanan dimulakan dengan Persib Bandung tampil lebih agresif apabila melancarkan gerakan pantas bagi mencari peluang di hadapan gawang FC Seoul.

Usaha tersebut membuahkan hasil seawal minit ke-5 apabila Julio Cesar membuka tirai jaringan menerusi penyudah hasil sepakan sudut yang diambil Marc Klok, sekali gus memberikan kelebihan awal buat pasukan pelawat.

Tersentak dengan jaringan awal tersebut, FC Seoul segera memperkemaskan permainan dan meningkatkan tekanan ke atas Persib Bandung dalam usaha mencari gol penyamaan.

Lee Sang-min hampir mencetak gol penyamaan pada minit ke-30 menerusi situasi sepakan sudut, namun tandukan pemain tersebut sekadar melewati palang gawang Persib Bandung.

Biarpun kedua-dua pasukan terus berbalas serangan dan berusaha mencipta peluang di sepanjang baki babak pertama, tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan. Persib Bandung kekal mempertahankan kelebihan 1-0 sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan, sekali gus membawa kelebihan tipis tersebut ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, FC Seoul melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memperkuatkan jentera pasukan dalam usaha memburu gol penyamaan. Perubahan tersebut menyaksikan mereka tampil lebih agresif apabila beberapa percubaan berbahaya berjaya dihasilkan, namun ketangkasan penjaga gol Persib Bandung, Teja Paku Alam, terus menjadi penghalang.

Dalam pada FC Seoul rancak melancarkan serangan, Persib Bandung pula hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-65 menerusi Mark Klok yang berjaya merampas bola sebelum berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol. Namun, penyudah pemain itu sedikit tersasar di sebelah kanan gawang, sekali gus mensia-siakan peluang keemasan untuk menambah jaringan.

Berbaki 20 minit permainan, Persib Bandung dilihat lebih banyak bertahan di kawasan sendiri bagi menyerap tekanan FC Seoul, sambil menanti ruang dan masa yang sesuai untuk melancarkan serangan balas pantas.

Tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan sehingga wisel penamat dibunyikan, menyaksikan Persib Bandung membawa pulang tiga mata berharga dari bumi Korea Selatan. Kemenangan tersebut turut menjadi permulaan positif buat Persib dalam kempen mereka di pentas kedua tertinggi kelab Asia itu.

Untuk aksi seterusnya, Persib Bandung dijadualkan berdepan wakil Vietnam, Viettel FC pada 14 Oktober depan. Pada tarikh yang sama, FC Seoul pula akan berkunjung ke Australia bagi menentang Melbourne Victory dalam aksi berikutnya.