Persib Bandung mengekalkan rekod tanpa kalah di pentas AFC Champions League Two (ACL2) selepas berjaya menumpaskan wakil Korea Selatan, Seoul di laman sendiri pada Rabu.
Kemenangan ke-5 di peringkat kumpulan E berjaya dicatatkan oleh Persib Bandung selepas 3 jaringan oleh 3 pemain berbeza membuatkan Seoul akur tewas 3-1 di Stadium Gelora Bandung Lautan Api.
Barisan terbaik menjadi taruhan Persib Bandung dengan Adam Alis dan Mariano Peralta mengetuai jentera serangan manakala Seoul menampilkan bekas tonggak Selangor, Yazan Al Arab di benteng pertahanan.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Mariano Peralta berjaya menanduk masuk gol pertama di minit ke-6 permainan hasil hantaran silang oleh bek kanan, Sandy Walsh.
Seakan tersentak, Seoul berusaha mengatur gerakan dan hasilnya Leonardo Ruiz berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-37 berpunca daripada situasi sepakan sudut untuk menewaskan Teja Paku Alam.
Jaringan penyamaan tersebut bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Luka Menalo menyumbat gol kedua selang 4 minit selepas itu, menerusi percubaan susulan yang direncanakan oleh Mariano Peralta.
Usaha wakil Korea itu untuk mendapatkan gol kedua makin sukar setelah Moon Seon-min dilayangkan kad merah pada minit ke-70, sekali gus membuatkan Seoul terus tertekan bagi mengakhiri aksi dengan 10 pemain.
Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan sepenuhnya oleh Persib Bandung bagi menambah jaringan hasil penyudah oleh Beckham Putra pada minit ke-78, berpunca daripada serangan balas pantas.
Aksi di Stadium Gelora Bandung Api berakhir dengan keputusan 3-1 memihak Persib Bandung.


