Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Roque Mesa tidak menyembunyikan keterujaannya apabila berpeluang bertemu semula dengan bekas rakan sepasukan dan barisan kakitangan Harimau Selatan selepas Ratchaburi FC mengikat juara Malaysia itu 1-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), semalam.
Menerusi temu bual bersama SNE Sports selepas perlawanan, Mesa meluahkan kegembiraannya selain mengakui JDT memberikan cabaran sukar buat pasukannya.
“Perlawanan hari ini sangat sukar kerana JDT sebuah pasukan yang sangat bagus dan kuat. Kami berjaya mengikat kedudukan seri, walaupun mungkin mereka lebih berpeluang untuk menang hari ini, jadi kami tetap gembira dengan satu mata ini.
“Saya juga sangat gembira kerana dapat bertemu semula dengan bekas rakan sepasukan dan barisan kakitangan. Walaupun tempoh saya di sana agak singkat akibat kecederaan, kenangan sepanjang berada di Johor sangat baik,” katanya.
Dalam perlawanan itu, JDT terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Marcos Guilherme pada minit ke-36 sebelum Njiva Rakotoharimalala menyamakan kedudukan buat Ratchaburi pada minit ke-56.
Keputusan seri itu menyaksikan JDT mengumpul lapan mata selepas lima perlawanan untuk menghuni tangga ketujuh Zon Timur, manakala Ratchaburi berada di kedudukan ke-14 dengan dua mata.
Kedua-dua pasukan kini akan memberi tumpuan kepada aksi seterusnya pada 1 Disember ini apabila JDT menerima kunjungan Daejeon Hana Citizen, sementara Ratchaburi dijadualkan menentang Beijing Guoan dalam usaha memperbaiki kedudukan masing-masing dalam saingan ACLE.


