Sri Lanka berpotensi memiliki sebutir permata yang pernah digilap oleh akademi pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.
Pemain yang dimaksudkan ialah bintang muda Barnsley, Vimal Yoganathan. Namanya mula menarik perhatian ramai apabila tersenarai dalam senarai pemain The Tykes yang menentang Manchester United dalam saingan Carabao Cup.
Meskipun pasukan League One itu tersingkir selepas dibelasah United 7-0 di Old Trafford, ia satu hari yang istimewa buat pemain tengah berusia 18 tahun itu.
Yoganathan berada dalam skuad akademi Liverpool dari 2014 hingga 2021. Walau bagaimanapun, namanya tidak dikekalkan untuk kempen musim 2021/22.
Keadaan ini mendorongnya untuk memilih Barnsley sebagai destinasi seterusnya pada Julai 2021. Sejak itu, Yoganathan mula membina namanya bersama The Tykes.
Berdasarkan semakan di Transfermarkt, beliau membuat penampilan senior pertama bersama pasukan itu dalam saingan Carabao Cup menentang Tranmere Rovers pada Ogos 2023.
Yoganathan juga sudah menjaringkan gol senior menerusi dua gol semasa menentang skuad Manchester United Bawah 21 Tahun (B-21) dalam saingan EFL Trophy pada 20 Ogos lalu.
Ketika ini, beliau merupakan sebahagian daripada skuad Wales B-19. Yoganathan telah membuat penampilan pertama semasa menentang Belgium pada Mac 2024.
Meskipun usianya masih muda, Yoganathan berpeluang menerima panggilan menyertai skuad senior Sri Lanka. Ini kerana selagi beliau belum menerima panggilan skuad senior The Dragons, peluang menyertai The Golden Army masih lagi terbuka.
Ini ditambah dengan usaha pasukan Asia Selatan itu merekrut ramai pemain warisan untuk meningkatkan kualiti pemain mereka. Antara pemain warisan yang memperkuat Sri Lanka ialah Jack Hingert (Brisbane Roar), Sam Durrant (Dundalk) dan Wade Dekker (Dandenong Thunder).
Sri Lanka mempamerkan kebangkitan terutama selepas menewaskan Kemboja dalam aksi playoff pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.