Man United mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat Carabao Cup dengan membelasah kelab League One, Barnsley 7-0 di Old Trafford.
Selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Southampton pada 14 September lalu, momentum tersebut mahu diteruskan anak buah Erik ten Hag dalam saingan piala domestik.
Atas sebab itu, pengurus Belanda itu memilih menurunkan barisan terkuat termasuk Alejandro Garnacho, Marcus Rashford dan Antony di bahagian serangan.
Percaturan ten Hag menurunkan barisan terkuat membuahkan hasil apabila United mendahului pada minit ke-17. Rashford meraih gol keduanya untuk musim 2024/25 selepas menyempurnakan hantaran Garnacho.
Penyerang England itu kemudiannya membantu United meraih gol kedua pada minit ke-35 apabila dijatuhkan dalam kotak penalti. Penalti tersebut mudah disempurnakan Antony untuk gol pertamanya musim ini.
The Tykes semakin tertekan apabila Garnacho pula mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-47. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, The Red Devils semakin ghairah memburu gol. Ini memaksa pengurus Barnsley, Darrell Clarke membuat tiga pertukaran pemain dengan memasukkan Stephen Humphrys, Matthew Craig dan Conor McCarthy.
Pertukaran tersebut langsung tidak mematikan selera gol tuan rumah. United menyumbat gol keempat menerusi Garnacho pada minit ke-49 selepas menerima hantaran Christian Eriksen.
The Tykes makin derita apabila Rashford meraih gol kelima lapan minit selepas itu. Kombinasi beliau dan Garnacho memastikan penjaga gol Barnsley, Gabriel Slonina mengutip bola dari gawangnya buat kali kelima.
Dengan United cukup dominan, ini mendorong ten Hag memasukkan Bruno Fernandes, Joshua Zirkzee dan Noussair Mazraoui menggantikan Diogo Dalot, Manuel Ugarte dan Marcus Rashford.
Fernandes kemudiannya mencipta peluang yang mudah disempurnakan Eriksen pada minit ke-81. Ini gol pertama pemain perancang Denmark itu dalam tempoh 13 bulan.
Eriksen memastikan kemenangan 7-0 milik The Red Devils dengan gol pada minit ke-86. Keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini bukan saja menyaksikan United merekodkan kemenangan terbesar mereka dalam era ten Hag. Malah, mereka turut mengulangi kemenangan besar yang diraih ke atas lawan sama pada 1997.
Kesungguhan Eriksen mencipta peluang dan gol sepanjang perlawanan turut diiktiraf oleh Sofascore. Beliau mendapat markah 9.9, 0.1 mata di hadapan Garnacho.
Selepas ini, United kembali fokus untuk kempen Liga Perdana Inggeris (EPL). Mereka akan menentang Crystal Palace di Selhurst Park pada awal pagi 22 September.
Sementara Barnsley pula perlu pantas melupakan kekalahan ini. Ini kerana mereka akan menentang Burton Albion dalam saingan League One pada 21 September.