Man United kembali meraih kemenangan apabila menewaskan pendatang baru Liga Perdana Inggeris (EPL), Southampton di Stadium St. Mary.
Kedua-dua pasukan berharap dapat bangkit selepas tewas dalam aksi sebelumnya. United dimalukan 3-0 oleh Liverpool dengan Southampton pula menjadi mangsa amukan 3-1 Brentford.
Jack Stephens diberi tugas mengetuai cabaran The Saints. Manakala pemain perancang Portugal, Bruno Fernandes mengetuai cabaran The Red Devils.
Southampton hampir mendapat gol awal menerusi Tyler Dibling seawal minit ketujuh. Malangnya, rembatan lencong pemain sayap berusia 18 tahun itu pantas dinafikan Andre Onana.
United juga hampir memecah kebuntuan menerusi bekas penyerang Bologna, Joshua Zirkzee pada minit ke-16. Zirkzee hampa apabila percubaan jarak dekatnya dinafikan penjaga gol baru The Saints, Aaron Ramsdale.
Southampton kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Stuart Attwell. Ini selepas Attwell mengesan kekasaran yang dilakukan Diogo Dalot ke atas Dibling.
Cameron Archer berharap dapat meraih gol sulungnya bersama The Saints menerusi penalti pada minit ke-33. Malangnya, penaltinya mudah dinafikan Onana sebelum penjaga gol Cameroon itu menangkap bola percubaan susulan Archer.
Detik berkenaan membakar semangat United untuk memburu gol pendahuluan. Hasilnya, Mathijs de Ligt menyudahkan hantaran Fernandes untuk meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-35.
The Saints makin ketinggalan apabila Marcus Rashford menggandakan kelebihan The Red Devils enam minit selepas itu. Gol tersebut mengakhiri kemarau gol yang dialaminya sejak Mac lalu.
Southampton terus berusaha merapatkan jurang gol dengan United tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, United terus berusaha memberi tekanan ke arah kubu pertahanan Southampton untuk mendapatkan gol ketiga.
Rashford hampir menambah gol keduanya untuk musim 2024/25 menerusi percubaan lencong pada minit ke-59. Percubaan derasnya berjaya dinafikan Ramsdale.
Melihat pasukannya berdepan kesukaran menyekat asakan United, jurulatih Southampton, Russell Martin membuat empat pertukaran pemain. Beliau memasukkan Adam Lallana, Ryan Fraser, Maxwell Cornet dan Ross Stewart.
Detik yang dinantikan penyokong United akhirnya tiba apabila Manuel Ugarte membuat penampilan pertamanya pada minit ke-73. Ugarte tiba di Old Trafford dari PSG dengan yuran perpindahan £50.7 juta (RM286 juta).
Tuan rumah kemudiannya dipaksa bermain dengan 10 pemain apabila Stephens diperintah keluar padang pada minit ke-79. Ini selepas pegawai VAR, Chris Kavanagh memaklumkan kepada Attwell bahawa Stephens melakukan cabaran merbahaya ke atas Alejandro Garnacho.
Garnacho memastikan kemenangan milik United dengan satu rembatan kencang yang menewaskan Ramsdale pada minit akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan United melonjak ke tangga kelapan liga dengan enam mata. Sementara The Saints pula kekal di tangga ke-19 tanpa sebarang mata.
Ketenangan yang dipamerkan de Ligt mengawal pertahanan dan golnya pada separuh masa pertama menyebabkan beliau dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Beliau mendapat markah 8.5, 0.6 mata di hadapan Amad Diallo.
Selepas ini, kedua-dua pasukan kembali fokus kepada saingan Carabao Cup. The Red Devils dan Southampton masing-masing bakal berdepan Barnsley dan Everton pada awal pagi 18 September.