Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mengingatkan penyokong agar bersabar dengan proses mengintegrasikan Manuel Ugarte dalam pasukan.
United tewas dalam liga buat kali kedua untuk musim 2024/25 di tangan musuh tradisi, Liverpool. Dua gol Luis Diaz dan Mohamed Salah memastikan The Red Devils berduka di Old Trafford.
Ramai penyokong United menyifatkan pemain tengah Brazil, Casemiro sebagai punca kekalahan pasukan itu. Ini ditambah dengan tindakan ten Hag memasukkan pemain tengah muda, Toby Collyer sebagai pengganti pemain tengah berusia 32 tahun itu pada separuh masa kedua.
Atas sebab itu, ramai penyokong mahu pengurus Belanda itu segera mengintegrasikan Ugarte ke dalam pasukan agar menggantikan Casemiro.
Meskipun begitu, ten Hag mengingatkan penyokong untuk bersabar. Ini kerana beliau mahu Ugarte membina minit permainan terlebih dahulu sebelum dapat diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Jadi, ada satu lagi perkara, kita perlu integrasikan beliau (Ugarte) dalam pasukan. Ini akan mengambil masa, jadi saya bukannya Harry Potter. Ini satu perkara anda kena akui.
“Dan jika anda lihat Manuel Ugarte, beliau langsung tidak bermain musim ini. Tiada satu minit perlawanan pun. Jadi, beliau kena bina kadar kecergasannya dan kemudian, integrasikan beliau dalam pasukan.
“Dan saya yakin beliau akan menyumbang kepada tahap kita dan beliau akan menjadi pemain penting tetapi proses ini akan ambil masa beberapa minggu, mungkin berbulan,” katanya seperti yang dilaporkan Manchester Evening News.
Ugarte menjadi rekrut terbaru United dengan yuran perpindahan £52.8 juta (RM300 juta). Beliau menjadi rekrut terakhir The Red Devils dalam tetingkap perpindahan musim panas 2024 selepas Joshua Zirkzee, Leny Yoro, Noussair Mazraoui dan Mathijs de Ligt.