Lubnan Bakal Terlepas Aksi Lawan Vietnam?
MakanBola
FA Malaysia

Naib juara Pestabola Merdeka 2024, Lubnan berpotensi terlepas aksi persahabatan antarabangsa menentang Vietnam pada 15 Oktober ini.

ASEAN Football melaporkan Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) memaklumkan kepada Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) bahawa mereka tidak dapat memenuhi komitmen perlawanan tersebut.

Ini berlaku disebabkan tindakan rejim Israel melancarkan serangan ganas ke atas Lubnan dan menceroboh selatan negara itu baru-baru ini. Konflik ini dijangka menyukarkan aturan perjalanan The Cedars untuk aksi berkenaan.

Situasi ini mirip dengan situasi yang dihadapi skuad kebangsaan Palestin pada tahun 2023. Tahun tersebut menyaksikan Palestin dijemput menyertai saingan Pestabola Merdeka 2023.

Walau bagaimanapun, pasukan yang diberi jolokan Singa Kanaan itu terpaksa menarik diri susulan konflik Palestin-Israel yang tercetus terutama di Semenanjung Gaza.

Sekiranya Lubnan sah menarik diri daripada aksi persahabatan menentang Vietnam, maka India bakal menjadi satu-satunya lawan anak buah Kim Sang-sik pada Oktober ini.

India dijangka berentap dengan Pahlawan Bintang Emas di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada 9 Oktober ini.

Situasi membabitkan The Cedars juga bakal dipantau Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) dan Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF).

Ini kerana mengikut kalendar perlawanan yang diumumkan LFA, Thailand dan Myanmar bakal bertemu dengan anak buah Miodrag Radulovic pada 14 dan 19 November ini.