Luqman Hakim Mahu Balas Kepercayaan Peter Cklamovski
MakanBola
MALAYSIA NT

Penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin, bertekad untuk membuktikan keupayaannya kepada ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski.

Beliau sekali lagi dipanggil menyertai skuad Malaysia bagi menghadapi Vietnam dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung di Nam Dinh pada 31 Mac 2026.

Untuk rekod, panggilan pertama Luqman Hakim di bawah kendalian jurulatih kelahiran Australia itu adalah pada kem November tahun lalu, apabila beliau menggantikan Jordan Mintah yang terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan.

Selepas lima musim berkelana di luar negara, kepulangan Luqman ke Liga Malaysia nyata memberikan impak positif apabila beliau berjaya meledak enam gol daripada 22 penampilan bersama Negeri Sembilan setakat ini.

Menurut Luqman Hakim, peluang untuk sekali lagi dipanggil menyertai pasukan menjadi detik penting yang menyuntik semangat dan keyakinan diri.

Selain dengan sokongan padu daripada jurulatih, rakan sepasukan serta prestasi konsisten di peringkat kelab, sekali gus mendorong tekad untuk memberikan aksi terbaik dan beliau turut mahu menghargai kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski.

“Bagi saya, syukur Alhamdulillah kerana ini kali kedua saya dipanggil oleh jurulatih. Ini satu peluang besar untuk saya. Keyakinan yang saya ada sekarang datang daripada sokongan jurulatih dan rakan sepasukan yang sentiasa memberi semangat kepada saya.”

“Di peringkat kelab juga, saya mendapat sokongan penuh yang membantu meningkatkan keyakinan diri saya. Selain itu, minit permainan yang saya peroleh sangat penting. Bila saya kerap bermain, saya dapat rentak dan keyakinan itu datang secara semula jadi.”

“Perlawanan seterusnya amat penting bagi saya. Ini bukan sekadar perlawanan biasa, tetapi melibatkan maruah diri saya, rakan-rakan sepasukan dan juga negara. Kami semua mahukan kemenangan dan akan berikan yang terbaik, insyaAllah.”

“Saya harap perlawanan ini dapat membantu saya bangkit semula dari segi keyakinan dan semangat, serta membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih kepada saya,” katanya dalam satu video yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada media, hari ini.

Harimau Malaya masih berbaki satu perlawanan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 ini apabila bakal terbang ke Nam Dinh untuk turun menentang Vietnam pada 31 Mac 2026.