Penyerang Singapura, Ikhsan Fandi memohon maaf kepada perancang tengah Thailand, Chanatip Songkrasin selepas aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Ikhsan dan Chanatip merupakan rakan sepasukan di BG Pathum United yang bersaing dalam Thai League 1, namun kali ini, kedua-duanya bertemu di atas padang bukan sebagai rakan sepasukan apabila masing-masing mewakili negara masing-masing.
Chanatip bersama skuad Thailand turun dengan misi penting bagi memburu tiga mata untuk menempah tiket ke pusingan ketiga manakala Singapura yang diwakili oleh Ikhsan pula berhasrat menutup aksi dengan keputusan positif.
Meskipun keputusan akhir menyaksikan skuad Gajah Perang mencatatkan kemenangan, namun itu tidak cukup apabila China disahkan mara atas kelebihan rekod pertemuan menentang Thailand setelah kedua-dua pasukan terikat mata dan perbezaan jaringan.
Ikhsan yang meledak satu gol saguhati Singapura dalam aksi tersebut dianggap hero oleh China apabila rembatan kencangnya itu memastikan perbezaan jaringan di antara Thailand dan China terikat.
Kesedihan ini tidak dapat disembunyikan oleh pemain tengah, Chanatip Songkrasin apabila beliau meninggalkan komen berbentuk emoji sedih dan menepuk tangan yang menggambarkan perasaannya ketika itu pada hantaran yang dimuatnaik di Instagram Ikhsan Fandi.
Ikhsan membalas semula komen rakannya itu dengan ucapan maaf buat Chanatip dan menjelaskan itu merupakan tugasnya untuk menjaringkan gol sebagai seorang penyerang.
”Saya minta maaf Jay (Chanatip Songkrasin), saya sayangkan kalian semua tetapi saya hanya melakukan tugas saya,” balas Ikhsan di ruangan komen.

Thailand dan Singapura akan meneruskan perjuangan dalam Kelayakan Piala Asia Pusingan Ketiga dalam misi untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.