Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali memohon maaf kepada ibu bapanya selepas memenangi pertarungan menentang Ye Yint Naung.
Hal ini dinyatakan jaguh berusia 19 tahun itu selepas memenangi pertarungan kelapannya dalam saingan ONE Championship.
Johan memaklumkan antara perkara yang selalu diingatkan ibu bapanya ialah tidak bermain dengan makanan.
Makanan yang dinyatakan beliau dilihat merujuk kepada lawannya dari Myanmar itu. Yint Naung bukan sekali memberi tentangan kepada Johan sebelum anak jati Sarawak itu meraih kemenangan.
Atas sebab itu, beliau memohon maaf atas perkara itu kerana ia hampir menggugat peluang meraih kemenangan kelapan dalam kariernya.
“Perkara kedua saya nak nyatakan ialah saya nak mohon maaf kepada ibu bapa saya. Kerana sejak saya kecil, mereka beritahu saya jangan bermain dengan makanan.
“Tapi saya lakukannya. Jadi, saya minta maaf, mama. Saya minta maaf, ayah,” katanya.
Johan turut memanjatkan rasa syukur kepada Allah s.w.t atas pencapaian yang dilakarnya dalam ONE Friday Nights 141.