Maghribi Terpaksa Bayar Mahal Demi Tiket Suku Akhir
MakanBola
Equipe du Maroc

Maghribi terpaksa membayar harga mahal untuk mendapatkan tiket suku akhir Piala Dunia 2026.

Ini selepas pemain baharu Bayern Munich, Ismael Saibari terpaksa dikeluarkan pada minit ke-22 aksi pusingan 16 pasukan terbaik menentang Kanada.

Saibari tidak dapat meneruskan permainan selepas mengadu rasa tidak selesa pada bahagian betis. Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano memaklumkan pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan hamstring.

Susulan itu, jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi memasukkan penyerang Al-Ain, Soufiane Rahimi sebagai pengganti Saibari untuk baki perlawanan.

Singa Atlas kemudiannya meraih kemenangan 3-0 ke atas Kanada sekaligus meraih tiket suku akhir. Meskipun begitu, status kecederaan Saibari meresahkan kem Maghribi.

Apabila ditanya tentang status Saibari, Ouahbi memaklumkan beliau perlu merujuk pasukan perubatan terlebih dahulu untuk menilai sejauh mana tahap kecederaannya.

Jika bekas pemain PSV Eindhoven itu perlu menjalani proses pemulihan yang lama, ini bukan saja menyebabkan Saibari terlepas perlawanan suku akhir menentang Perancis.

Malah, situasi ini juga akan merencatkan perancangan pengurus Bayern Munich, Vincent Kompany. Ini kerana legenda Belgium itu melihat Saibari sebagai figura penting menghadapi musim 2026/27.

Ini bukan kali pertama beliau mengalami kecederaan sebegini. Kecederaan sama memaksa Saibari berehat selama sebulan antara April dan Mei lalu semasa beraksi untuk PSV.