Bekas pemain perseorangan kebangsaan, Sairul Amar Ayob menegur sikap sesetengah pemain badminton negara yang meminta dilatih jurulatih tertentu.
Bekas juara Dutch Open 2006 itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai amalan tidak sihat dan patut dihentikan.
“Ya, pada saya itu masalah besar. Sebenarnya, kalau ikut saya, biar jurulatih yang pilih pemain. Pada saya, tak baguslah. Kau siapa nak pilih jurulatih kalau ikut pencapaianlah, kau siapa?” katanya semasa menjadi tetamu program The BangMed Show.
Sairul turut berpandangan senario itu berbeza sekiranya pemain negara mencapai status seperti legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat.
Ini kerana bagi jurulatih berusia 44 tahun itu, status dan pencapaian yang dilakar Taufik di peringkat antarabangsa membolehkan beliau mampu mendapatkan sokongan terbaik dalam kariernya.
“Kalau Taufik (Hidayat) bolehlah, sampai boleh pindah ikut negara. Kalau nak saya balik, jurulatih saya pun balik. Itu baru (taraf) legenda. Ini apa, main (kejohanan Super) 100 tak lepas pun nak minta?” ujarnya.
Sebelum ini, Sairul turut berpandangan pemain negara yang berstatus pemain terbaik dunia berhak mendapat gaji RM2 juta.