Bekas jaguh perseorangan negara, Sairul Amar Ayob berpandangan pemain badminton negara berhak meminta gaji RM2 juta disebabkan status mereka antara pemain terbaik dunia.
Sebelum ini, beberapa laporan media menyatakan ada pemain badminton negara meminta gaji sebanyak RM2 juta daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Laporan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penggiat sukan badminton negara. Malah, khabar angin tersebut turut dinafikan pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia.
“Saya rasa khabar angin ini sekadar khabar angin sahaja. Jadi, kita pun (tak tahu). Saya tak tahu siapa yang cakap itu.
“Lepas itu, bukan kitalah (beliau dan Soh Wooi Yik). Perjanjian kita (dengan BAM) pun baru meterai. Jadi, jelas sekali bukan kita. Tapi kita pun tak tahu siapa,” katanya.
Apabila diminta mengulas tentang perkara ini, Sairul berpandangan mereka berhak mendapatnya bersesuaian dengan status mereka sebagai pemain terbaik dunia.
Ini kerana bukan mudah bagi pemain negara bertaraf dunia untuk mengekalkan status mereka dalam kelompok pemain terbaik dunia. Justeru, Sairul melihat gaji RM2 juta setimpal dengan pengorbanan mereka demi negara.
“Tapi kalau kata pada saya, pemain berhak mendapatnya. Mereka berada dalam kelompok 10 pemain terbaik, lima pemain terbaik dunia. Anda bermain menentang pemain nombor satu dunia.
“Macam contoh dalam golf, ada yuran penyertaan. Macam pemain badminton, jangka hayat mereka sebagai atlet berapa lama kan? Tanya mereka kalau mereka nak duit, mereka boleh minta,” katanya semasa menjadi tetamu program The BangMed Show.
Sairul turut melihat nilai gaji tersebut dilihat bersesuaian dengan nilai komersial pemain selaku pemain terbaik dunia. Beliau juga percaya dengan nilai komersial yang dimiliki pemain tersebut, mereka mudah mendapat sokongan kewangan terutama bila berada di luar.
“Jadi, saya rasa kalau pemain terbaik Malaysia keluar, senang dapat RM2 juta-RM3 juta setahun. Sebab ini berkenaan kehidupan atlet. Kalau pergi AS, China, Pakistan atau India, ini kehidupan mereka.
“Ini nilai komersial mereka, mereka tak boleh berada dalam kelompok 10 pemain terbaik selama-lamanya. Mungkin dua atau tiga tahun lagi, (prestasinya) menurun. Kalau (yang minta) RM2 juta yang berada dalam kelompok lima pemain terbaik, kalau di luar mudah (dapat) saja,” ujarnya.
Enam wakil negara kini bersiap sedia untuk menghadapi cabaran BWF World Tour Finals (WTF) yang berlangsung di Hangzhou, China pada Disember ini. Mereka berpeluang meraih hadiah kewangan bernilai hampir RM1 juta sekiranya meraih gelaran juara.