Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin pernah memberi amaran tentang maklumat palsu pemain yang dicanang memiliki darah Malaysia.
Ketika ini, kecoh di media sosial apabila kapten Burnley FC, Josh Brownhill yang tampil memberi penjelasan mengenai status dirinya yang hanya miliki kewarganegaraan England sahaja.
“Sekadar ingin menangani situasi beberapa khabar angin yang tersebar. Malangnya satu-satunya kewarganegaraan saya ialah Inggeris dan saya bukan warga Malaysia seperti yang mungkin difikirkan oleh sesetengah orang,” jelas Brownhill.
Penjelasan ini jelas sekali menjawab spekulasi yang bertiup kencang dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan berita yang tersebar hanyalah khabar angin palsu semata-mata.
Sekitar bulan Mei lalu, dalam satu sesi temu bual bersama MakanBola, Tan Sri Haji Hamidin sempat menafikan berita mengenai beberapa pemain warisan yang dilaporkan miliki darah Malaysia.
Menurut Hamidin, berita yang disebarkan di laman media sosial belakangan ini adalah tidak benar dan pemain-pemain yang dicanang tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Malaysia.
“Kebanyakan (berita mengenai pemain warisan) yang ada di media sosial itu tak betul dan bukan pun berdarah Malaysia,” ujar Hamidin.
Jelas beliau, pihak FAM melalu exco, Christopher Raj pernah menghubungi pemain-pemain ini seperti Ferdy Druijf namun usaha tersebut menemui jalan buntu.
”Mestilah ada semak. Macam contohnya Ferdy Drujif, exco saya sudah berhubung tetapi sampai sekarang dia tidak beri maklum balas.”
“Dia pun mungkin tidak berdarah Malaysia, hanya ada laman di media sosial yang berkata dia memiliki pertalian. Banyak informasi yang palsu,” kata Hamidin ketika ditemui pada Mei lalu.
Sebelum tular berita mengenai Brownhill ini, seorang lagi pemain di England, Isaac Hayden yang beraksi bersama Newcastle United turut menafikan miliki pertalian darah dengan Malaysia.