Pengendali Vietnam, Kim Sang-sik menyifatkan kejayaan bergelar juara ASEAN Championship 2024 sebagai satu kejayaan hebat buat pasukan itu.
Pahlawan Bintang Emas muncul juara dengan meraih kemenangan 3-2 ke atas Thailand dalam aksi final kedua di Stadium Rajamangala pada 5 Januari lalu.
Pham Tuan Hai, Nguyen Hai Long dan gol sendiri Pansa Hemviboon sudah cukup memastikan Vietnam bergelar juara buat kali ketiga dengan keputusan agregat 5-3.
Usaha Vietnam turut dibantu dengan Thailand dipaksa bermain dengan 10 orang apabila pengadil melayangkan kad merah kepada Weerathep Pomphan.
Sang-sik menyifatkan kejayaan ini cukup bermakna kepada semua pihak terutama para pemain dan staf kejurulatihan. Ini kerana hadiah terbaik atas kesungguhan dan pengorbanan yang ditampilkan mereka sepanjang kejohanan berlangsung.
“Ini malam bersejarah buat bola sepak Vietanm. Kita bermain di stadium yang panas dan berdepan perlawanan yang mencabar,” katanya seperti yang dilaporkan TheThao247.
“Terima kasih kepada sokongan bersemangat peminat-peminat Vietnam, itu membantu kita untuk meraih kemenangan. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pemain yang tidak putus asa dan berjuang habis-habisan.”
Sang-sik turut mengakui pengalaman bergelar juara bersama Vietnam merupakan satu pengalaman manis buatnya. Sebelum ini, beliau pernah menikmati kejayaan trofi bersama Jeonbuk Hyundai Motors.
“Walaupun saya telah memenangi K-League 1 di peringkat kelab (bersama Jeonbuk Hyundai Motors), ini kali pertama saya meraih kejuaraan bersama pasukan kebangsaan,” tambahnya.
Vietnam kini mengalihkan fokus kepada aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027. Pasukan itu berada dalam Kumpulan H bersama Malaysia, Laos dan Nepal.
Pahlawan Bintang Emas bakal membuka tirai kempen kumpulan dengan menentang Laos pada 25 Mac ini.