Kemenangan besar Malaysia ke atas Vietnam dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini menimbulkan perdebatan mengenai peluang pemain tempatan menembusi skuad kebangsaan selepas ini.
Jurulatih akar umbi, Shazwan Wong, menekankan bahawa bahawa pemain-pemain warisan yang menyarung jersi Harimau Malaya sememangnya membawa satu mentaliti dan standard yang berbeza dalam bola sepak negara kita.
“Sekarang ada yang kata sukar untuk pemain tempatan kita menembusi skuad kebangsaan, tapi kenapa kita perlu berfikir begitu?
“Kenapa tidak kita fikir kalau ini standard yang diperlukan, maka kita usaha dan bekerja ke arah standard itu? Kita boleh jadi lebih baik, asalkan semuanya diletakkan pada tempat yang betul,” jelas Shazwan di laman X.
Shazwan berpendapat bahawa banyak kelab akar umbi di Malaysia hanya menjalani latihan dua kali seminggu yang ianya tidak mencukupi untuk membina pemain elit. Beliau mencadangkan agar kelab-kelab ini meningkatkan frekuensi latihan kepada tiga hingga empat kali seminggu dan memastikan pemain beraksi dalam sekurang-kurangnya 40 perlawanan setahun. Ini penting untuk pembangunan teknikal dan mental pemain muda.
Malaysia sememangnya mempunyai ratusan malah ribuan bakat namun Shazwan melihat bakat-bakat ini hanya mempunyai dua pilihan untuk mengembangkannya iaitu di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Antara umur 8-12 tahun, percayalah, kita memang ada ramai bakat. Kalau anak-anak ini berada di Sepanyol, England, atau Itali, saya yakin sebahagian daripada mereka akan berjaya masuk ke akademi profesional kelab-kelab besar di mana mereka boleh teruskan pendidikan bola sepak ke tahap yang lebih tinggi.
“Tapi malangnya di Malaysia, ratusan malah ribuan bakat hanya ada dua pilihan iaitu JDT dan AMD. Bayangkan kalau sistem yang sama wujud di seluruh negara hingga 16 kelab elit dengan jurulatih bertaraf tinggi di situlah kita boleh benar-benar sediakan pemain untuk ke peringkat seterusnya,” luah Shazwan lagi.
Sebelum ini, MakanBola melaporkan bekas jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berharap bahawa lebih ramai pemain tempatan seperti Arif Aiman dilahirkan sebagai proses pembangunan jangka panjang.