“Kita Perlu Lebih Ramai Pemain Seperti Dia” – K. Rajagobal
MakanBola
FA Malaysia

Bekas jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berharap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai pemain seperti pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi.

Bagi Rajagobal apa yang dimiliki oleh pemain sayap skuad kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu adalah luar biasa dan berada di dalam kelas yang berbeza.

“Arif Aiman berada dalam kelas tersendiri. Kita perlukan lebih ramai pemain seperti dia,” jelas Rajagobal seperti yang dikongsikan di laman X.

Dalam aksi bertemu Vietnam pada Selasa, Arif Aiman sekali lagi membuktikan mengapa beliau dianggap sebagai permata paling bernilai dalam skuad Harimau Malaya apabila mencipta dua bantuan gol kepada jaringan yang diledak Rodrigo Holgado dan Corbin Ong.

Apa yang paling mengagumkan, terdapat satu detik dalam perlawanan tersebut di mana Arif berjaya melepasi kawalan dua hingga tiga pemain Vietnam dengan penuh keyakinan dan kawalan bola yang kemas, satu aksi yang jarang-jarang dapat dilihat di peringkat antarabangsa.

Mungkin ada benarnya apa yang disuarakan Rajagobal, jika lebih ramai pemain seperti Arif dapat dilahirkan, tidak mustahil bola sepak Malaysia akan terus maju dan bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Kualiti teknikal serta disiplin tinggi seperti yang dimiliki Arif adalah elemen penting yang mampu mengangkat mutu permainan skuad kebangsaan ke tahap lebih kompetitif di rantau Asia.