Advertisement
Malaysia Akhirnya Jumpa Pengganti Mesir?
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Selepas sebelum ini dilaporkan bakal menentang Mesir, skuad kebangsaan Malaysia kini dilaporkan bakal menentang pasukan Timur Tengah, Syria untuk aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada September ini.

Ini merupakan sebahagian daripada persiapan skuad negara yang dibimbing Kim Pan-gon untuk Piala Asia 2023 dan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Dengan Malaysia menduduki ranking ke-137 dunia, skuad negara memerlukan ujian lebih getir bagi memastikan mereka benar-benar bersedia bagi menghadapi dua kempen berkenaan.

China sebelum ini sah menjadi lawan pertama Harimau Malaya untuk aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada September ini.

Berdasarkan maklumat yang diterima MakanBola, Syria yang menduduki tangga ke-94 dunia dijangka bakal menjadi lawan kedua skuad negara selepas China.

Sekiranya perkhabaran ini menjadi kenyataan, ini memadamkan harapan peminat negara melihat The Pharaohs diketuai bintang Liverpool, Mohamed Salah menentang Harimau Malaya.

Perkara ini bagaimanapun masih lagi belum disahkan oleh pihak FAM. Satu perbincangan antara barisan kejurulatihan dengan pengurusan badan induk itu sudah pasti akan dilakukan terlebih dahulu.

Kalendar antarabangsa FIFA seterusnya dijadualkan pada 4–12 September 2023 , 9–17 October 2023, dan 13–21 November 2023. Ini akan disusuli dengan Piala Asia 2023 yang akan diadakan pada awal tahun hadapan.