Skuad Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17) bakal berdepan cabaran sukar dalam Kejohanan AFF B-16 2024 yang akan berlangsung pada bulan hadapan.
Ini kerana Malaysia yang dibimbing Javier Jorda Ribera bakal berada dalam Kumpulan C bersama Australia dan Thailand. Turut sama berada dalam kumpulan itu ialah Timor Leste.
Perkara ini dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas majlis undian kumpulan kejohanan yang diadakan pada hari ini.
Menariknya, Malaysia dan Australia kembali berentap selepas sebelum ini diundi dalam kumpulan sama untuk edisi 2022.
Indonesia, Singapura, Filipina dan Laos berada dalam Kumpulan A. Manakala Myanmar, Vietnam, Kemboja dan Brunei Darussalam pula dalam Kumpulan B.
Malaysia berharap untuk tampil lebih baik untuk edisi 2024. Edisi 2022 menyaksikan Malaysia gagal layak ke separuh akhir selepas terlepas peluang mara sebagai naib juara terbaik kumpulan.
Kejohanan AFF B-16 2024 bakal berlangsung dari 21 Jun hingga 4 Julai ini di Surakarta, Indonesia.
Kejohanan ini dilihat sebagai medan persiapan skuad negara menjelang kelayakan Piala Asia B-17 2025 yang berlangsung pada Oktober ini.