Bintang muda Selangor FC III, Izzat Syahir Mohd Zulihsan percaya skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) sudah bersedia untuk menggegarkan bumi Indonesia.
Skuad muda negara bakal bertolak ke Surabaya, Indonesia untuk menyertai Kejuaraan ASEAN B-19 2024. Malaysia tiba dengan reputasi sebagai juara bertahan selepas menjuarai kejohanan itu pada tahun 2022.
Anak buah Juan Torres Garrido diletakkan dalam Kumpulan C bersama dua musuh tradisi, Thailand dan Singapura. Sementara Brunei Darussalam melengkapkan kuota kumpulan berkenaan.
Barisan Malaysia B-19 kali ini dibarisi majoriti pemain muda dari JDT dan Selangor FC. Sementara Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Terengganu FC, Sabah FC dan Perak FC melengkapkan barisan 28 pemain yang dipanggil Garrido.
Melihat kepada kesungguhan yang ditampilkan barisan pemain negara, Izzat percaya dia dan rakan-rakan sepasukannya bersedia melakar kecemerlangan di Indonesia.
“Kalau tengok daripada pasukan, nampaknya semua sudah bersedialah untuk menggegarkan Indonesia,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan persahabatan Malaysia-Kemboja.
Malaysia B-19 meraih kemenangan 4-2 ke atas Kemboja dalam aksi yang berlangsung di Stadium UiTM. Empat gol negara disumbang oleh Danish Hakimi Sahaludin, Arami Wafiy Zakimi, Amir Farhan Fuzi dan Izzat.
Sementara Kemboja membalas menerusi gol yang disumbangkan Phoeuk Thatthai dan Uk Devin. Skuad negara bakal bertolak ke Surabaya pada 15 Julai ini.
Malaysia akan membuka kempen Kumpulan C dengan menentang Brunei pada 19 Julai. Ini disusuli aksi kedua menentang Singapura pada 22 Julai. Malaysia akan menutup kempen Kumpulan C dengan menentang Thailand pada 25 Julai.
Juara kumpulan (tiga pasukan) dan satu naib juara kumpulan terbaik akan layak ke separuh akhir pada 27 Julai. Ini seterusnya disusuli dengan aksi penentuan tempat ketiga dan final akan berlangsung pada 29 Julai.