Malaysia bakal miliki seorang lagi pemain warisan yang berpotensi untuk mewakili skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Pemain daripada skuad Piala Presiden JDT, Danish Presenti merupakan pemain kacukan yang memiliki darah Malaysia/Itali. Danish Pesenti dilahirkan di Itali dan ibu kepada pemain berusia 19 tahun ini merupakan seorang warganegara Malaysia sementara bapanya merupakan warga Itali.
Ketika ini, Danish sedang beraksi bersama JDT III dalam saingan Piala Presiden 2024. Menerusi tinjauan yang dibuat MakanBola, pemain tengah berbakat ini melengkapkan perpindahan ke JDT pada awal Jun 2024.
Selain beraksi beraksi bersama skuad JDT III, baru-baru ini Danish turut dikesan turun berlatih bersama skuad utama JDT di Stadium Sultan Ibrahim.
Ketika berusia 8 hingga 12 tahun, Danish merupakan pemain di Akademi Sampdoria (Serie A). Sebelum tiba di Malaysia, Danish menandatangani kontrak bersama Vado FC yang bersaing dalam saingan Serie D sebelum beliau dipinjamkan ke pasukan Arezano FC (Divisyen 6) di Itali pada musim ini.
Untuk rekod, Malaysia sebelum ini pernah miliki pemain berdarah Malaysia-Itali lain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia iaitu Sean Gan Gianneli. Sean merupakan graduan Akademi JDT dan pernah menyarung jersi pasukan KL City, Uitm serta Pahang dan kini beliau kembali bersama ‘City Boys’ mengikat kontrak bersama KL City dalam saingan Liga Super 2024/2025.
Kehadiran Danish Pesenti ke Malaysia sudah pasti bakal menjadi bualan peminat dan penyokong tanah air untuk melihat sejauh mana kebolehan pemain kacukan Malaysia/Itali ini. Danish dilihat berpotensi untuk memperkuat posisi tengah untuk skuad muda negara satu hari nanti.