Skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B-22) bakal mengharungi kejohanan antarabangsa pada September ini.
ASEAN Football melaporkan Persatuan Bola Sepak China (CFA) bakal menganjurkan CFA Team International Friendly Tournament dari 2 hingga 10 September di Changsha, China.
Kejohanan ini bakal menampilkan empat pasukan B-22 iaitu tuan rumah China, Malaysia, Vietnam dan Uzbekistan.
Kejohanan ini bukan saja dilihat medan persiapan awal buat skuad muda negara untuk menghadapi temasya Sukan SEA 2025. Malah, ini juga medan mengenal pasti bakat baru yang boleh diserap ke dalam skuad senior Harimau Malaya.
Setakat ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum membuat sebarang pengumuman tentang penyertaan skuad B-22 negara dalam CFA Team International Friendly Tournament.
Seandainya perkara ini menjadi kenyataan, peranan jurulatih Harimau Muda dijangka digalas oleh bekas kapten Harimau Malaya, Shukor Adan.
Ini kerana pengendali skuad B-22 negara, Juan Torres Garrido perlu fokus kepada tugasan skuad senior kebangsaan atas kapasiti sebagai penolong jurulatih Pau Marti Vicente.
Harimau Malaya turut memiliki tugasan antarabangsa yang penting iaitu Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung pada bulan sama.
VNExpress melaporkan situasi sama turut dihadapi Vietnam memandangkan ketua jurulatih Pahlawan Bintang Emas, Kim Sang-sik ialah jurulatih skuad B-22 pasukan itu. Ini kerana Sang-sik perlu fokus dengan Tri-Nation Tournament yang berlangsung pada September.
Jurulatih Korea Selatan itu telah memilih Dinh Hong Vinh sebagai pemangku jurulatih pasukan itu.