Dua jaguh Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam sah bakal menentang wakil Eropah Timur, Russia pada bulan hadapan.
Sebelum ini, wujud laporan yang menyatakan Russia bakal berhadapan dengan beberapa pasukan dari Asia Tenggara pada September atau Oktober ini.
Antara yang menunjukkan minat ialah Vietnam yang dibimbing pengendali Korea Selatan, Kim Sang-sik. Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) merancang mengadakan satu kejohanan antarabangsa membabitkan pasukan itu, Thailand dan Russia.
Seandainya usaha itu tidak membuahkan hasil, VFF merancang menjemput pasukan dari Amerika Tengah, Panama sebagai pengganti.
Kini, ASEAN Football melaporkan Tri Nations Tournament 2024 bakal berlangsung dalam ruang kalendar FIFA iaitu 5 hingga 10 September ini. Kejohanan ini bakal menampilkan Vietnam, Thailand dan Russia.
Aturan perlawanan membabitkan ketiga-tiga pasukan juga telah ditetapkan. Pahlawan Bintang Emas bakal menentang Sbornaya pada 5 September ini.
Ini disusuli skuad Gajah Perang pula yang dibimbing Masatada Ishii menentang Russia pada 7 September. Setelah itu, Vietnam bakal berdepan Thailand pada 10 September ini.
Kejohanan ini dilihat bukan saja sebagai persiapan menghadapi ASEAN Championship 2024. Malah, ini medan terbaik menguji pasukan sebelum pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada 2025.