Malaysia Berpotensi Hantar 3 Wakil Ke Shopee Cup 2026-2027
MakanBola
BG Pathum United

Malaysia memiliki peluang terbaik bagi menghantar wakil terbanyak ke kejohanan Shopee Cup pada musim 2026-2027.

Saingan Shopee Cup musim ini sudah semakin hampir untuk melabuhkan tirai dengan perlawanan final bakal menemukan Selangor dari Malaysia serta juara bertahan, Buriram United.

Sekiranya Selangor berjaya menewaskan Buriram United dan dinobatkan selaku Juara, satu slot automatik ke Shopee Cup musim hadapan akan menjadi milik skuad Gergasi Merah ini.

Slot automatik sebagai juara bertahan ini bakal memberikan Malaysia tambahan satu wakil ke Shopee Cup musim depan selain Juara dan Naib Juara Liga Super musim ini yang turut layak.

Ini dilihat sebagai peluang terbaik buat Malaysia untuk miliki wakil terbanyak dalam saingan Shopee Cup musim hadapan seandainya Selangor berjaya dinobatkan selaku juara kali ini.

Untuk rekod, Thailand menghantar 3 wakil di pentas Shopee Cup pada musim ini iaitu BG Pathum United, Bangkok United dan Buriram United yang turut serta selaku juara pada musim 2024-2025.

Tugas mencabar bagaimanapun buat Selangor menjamin slot automatik tersebut apabila bakal berdepan Buriram United di pentas final Shopee Cup dengan aksi pertama akan diadakan malam ini.

Perlawanan final pertama ACC Shopee Cup antara Selangor vs Buriram United akan berlangsung pada Rabu, 20 Mei di Stadium MBPJ dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.