Hasrat Malaysia untuk melihat lebih banyak pencalonan gol untuk puskas mungkin menjadi kenyataan apabila satu lagi jaringan menggegar arena bola sepak Malaysia.
Perlawanan di Liga MFL melibatkan pertembungan pasukan Selangor dan Negeri Sembilan meraih perhatian ramai tatkala kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.
Kebangkitan luar biasa yang dipamerkan oleh skuad Jang terutamanya bangkit daripada ketinggalan 2-0 terus menjadi bualan.
Aksi ini bagaimanapun dihangatkan lagi dengan jaringan yang cukup luar biasa oleh perancang tengah The Red Giants, Izrin Ibrahim dari jarak yang cukup jauh.
Beliau berjaya menghidu kedudukan penjaga gol Negeri Sembilan yang telah meninggalkan posisi asalnya sebelum membuat keputusan untuk melepaskan rembatan dari tengah padang.
Tindakan pantas Izrin memberi kelebihan buat Selangor apabila penjaga gawang lawan gagal membaca gerakan dengan baik sebelum bola lemas itu menerjah gawang.
Jaringan ini disifatkan sebagai luar biasa kerana teknik yang digunakan amat sempurna untuk seorang pemain muda berusia 19 tahun.
Ini sekaligus bakal menjadi pencabar kepada jaringan yang dilakukan oleh pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid ketika bersama Harimau Malaya.
Ledakan kapten Malaysia itu sudah pun berada dalam radar Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila tersenarai dalam kalangan jaringan terbaik bulan Jun.