Malaysia difahamkan akan melakukan percaturan signifikan bagi memastikan kemenangan berjaya dicapai berdepan Kyrgyzstan di laman sendiri.
Skuad bimbingan Kim Pan-gon akan menghadapi perlawanan pembukaan Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang pasukan ke-96 dunia itu sambil memburu mata penuh.
Aksi yang berlangsung di Bukit Jalil itu menyaksikan kehadiran ekor sejati Harimau Malaya bakal memberi nilai tambah buat pasukan.
Menerusi satu perkongsian akhir sesi latihan Malaysia semalam, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memberitahu bahawa terdapat watak baharu yang dijangka mengemudi jentera tengah pasukan.
“Saya tidak lihat perubahan besar namun dijangka seperti bahagian pertahanan Dion Cools dijangka akan bergandingan bersama Shahrul Saad dengan Matthew Davies dan Corbin Ong di kiri dan kanan.”
“Bahagian tengah pula menyaksikan kehadiran pemain pilihan penyokong, Afiq Fazail dijangka akan berada dalam kesebelasan utama untuk memberi dimensi baharu buat pasukan,” jelasnya kepada Astro Arena.
Beliau juga merasakan tiada perubahan posisi pada jentera serangan dengan Faisal Halim, Arif Aiman dan Darren Lok kekal dalam percaturan akhir.
Kali terakhir Malaysia berdepan lawan yang sama adalah pada tahun 2018 dengan Harimau Malaya tewas tipis 1-0 hasil jaringan pada babak kedua.