Pemain pertahanan Malaysia, Declan Lambert bakal terlepas aksi pembukaan Piala ASEAN Mitsubishi Electric menentang Kemboja pada Ahad.
Skuad Harimau Malaya akan menghadapi aksi Piala ASEAN Mitsubishi Electric di dalam kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor Leste.
Seramai 26 pemain telah dipanggil oleh jurulatih, Pau Marti dengan tumpuan terarah kepada lapan pemain pertahanan yang dibawa termasuk beberapa tonggak senior dan muda.
Walau bagaimanapun, skuad negara terpaksa turun dalam aksi pertama tanpa kelibat pertahanan kiri, Declan Lambert yang akan menyertai pasukan setelah usai perlawanan Liga Super.
“Saya teruja untuk menyertai skuad kebangsaan tapi hanya akan mula melaporkan diri selepas perlawanan bertemu JDT (Johor Darul Ta’zim),” ujar Lambert menurut laporan Stadium Astro.
”Saya mahu turun sekerap mungkin dan bantu skuad negara capai kemenangan,” tambah yang memiliki 2 kaps bersama skuad kebangsaan.
Lambert dan KL City bakal berkunjung ke selatan tanah air bagi menghadapi aksi Liga Super berdepan juara 10 kali, Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.
Perlawanan pertama di antara Malaysia dan Kemboja bakal diadakan pada Ahad, 8 Disember di Stadium Olimpik Phnom Penh dengan sepak mula jam 6.45 petang.