Pengendali Malaysia, Pau Marti memilih untuk merombak pertahanan Malaysia.
Jurulatih muda kelahiran Sepanyol itu bakal membimbing Harimau Malaya bagi aksi Piala Mitshubishi Electric ASEAN 2024 bermula 8 Disember ini.
Ujian pertama pasukan negara adalah berdepan Kemboja di tempat lawan dengan cabaran paling besar adalah menentang Thailand pada aksi ketiga.
Pau Marti telah pun mengumumkan barisan 26 pemain skuad kebangsaan dengan 8 tonggak pertahanan muda dan berpengalaman menjadi taruhan.
Hanya tiga orang sahaja pemain dari kem lalu tersenarai iaitu Daniel Ting, Dominic Tan (Sabah) dan juga Adib Ra’op (Penang) dengan 5 lagi watak baharu menjadi taruhan.
Ahmad Khuzaimi Piee dan Declan Lambert kembali membantu Malaysia manakala pemain seperti Jimmy Raymond, Aiman Hakimi dan Harith Shamsuri turut tersenarai.
Beberapa pemain utama seperti Matthew Davies, Corbin-Ong, Dion Cools, Feroz Baharudin, Safwan Mazlan dan Azam Azmi tidak dipanggil susulan pertembungan jadual dengan aksi peringkat kelab.
Posisi penjaga gol turut mengalami perubahan besar selepas ketiadaan Ahmad Syihan Hazmi yang menyaksikan Kalamullah Al-Hafiz (Selangor) dan Rahadiazli (Terengganu) dibawa dengan Haziq Nadzli (Perak) kekal dari kem terdahulu.
Malaysia kini dalam misi menebus kehampaan pada edisi lalu selepas sekadar mengakhiri cabaran pada peringkat separuh akhir.