Malaysia Jadi Muka Depan Piala Asia Futsal 2026
UltraSukan
AFC

Pemain futsal kebangsaan, Awalluddin Mat Nawi menjadi muka depan poster Piala Asia Futsal 2026.

Ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyiarkan poster yang mempromosikan kejohanan yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia dari 27 Januari hingga 7 Februari ini.

Poster itu menampilkan ramai pemain yang dilihat sebagai tonggak utama 16 pasukan yang bertanding.

Awalluddin dilihat antara tonggak utama skuad Harimau Malaya yang dibimbing jurulatih, Addie Azwan Zainal.

Selain tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, poster tersebut turut menampilkan bintang Thailand, Muhammad Osamanmusa dan ayam tambatan Indonesia, Samuel Eko.

Malaysia bakal membuka kempen Kumpulan D dengan menentang juara bertahan, Iran pada 28 Januari. Selain Malaysia dan Iran, Afghanistan dan Arab Saudi turut berada dalam kumpulan sama.

Malaysia membawa skuad terbaik untuk kempen Piala Asia Futsal kali ini. Selain Awalluddin, Addie Azwan turut memanggil Khairul Effendy Mohd Bahrin, Harith Naim Nasir, Danial Dain dan Ridzwan Bakri.