14 pemain dipilih jurulatih skuad futsal negara, Addie Azwan Zainal untuk membawa cabaran Harimau Malaya dalam saingan Piala Asia Futsal 2026.
Ini berdasarkan senarai 14 pemain yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di semua platform rasmi mereka.
Tiga muka baharu dipanggil Addie Azwan menggantikan Zainulzahin Sinuan, Razin Rahim dan Syahir Iqbal Khan Akbar Khan untuk kejohanan ini.
Mereka ialah Syawal Sabaruddin, Norakmal Norizal dan Aidil Zakwan Zaidi. Aidil Zakwan menjadi sebahagian skuad futsal Malaysia B-19 yang meraih tempat ketiga ASEAN Futsal Cup B-19 baru-baru ini.
Tonggak berpengalaman seperti kapten, Khairul Effendy Mohd Bahrin, Firdaus Ambiah, Ridzwan Bakri dan Awalluddin Mat Nawi terus berada dalam perancangan Addie Azwan.
Malaysia akan membuka kempen Kumpulan D dengan menentang Iran pada 28 Januari. Ini disusuli aksi menentang Afghanistan pada 30 Januari dan Arab Saudi (1 Februari).
Sekiranya berjaya menduduki kedudukan dua pasukan teratas Kumpulan D, Malaysia berpotensi bertemu juara atau naib juara Kumpulan C di peringkat suku akhir pada 3 Februari.
Kumpulan C terdiri daripada satu lagi jaguh Asia iaitu Jepun, Uzbekistan, Tajikistan dan Australia.