Malaysia Terpaksa Lupakan Khidmat Syahir Iqbal
UltraSukan
FA Malaysia

Skuad futsal Malaysia terpaksa menghadapi cabaran Piala Asia Futsal 2026 tanpa kelibat Syahir Iqbal Khan Akbar Khan.

Ini kerana bintang muda Selangor FC itu mengalami kecederaan ACL. Perkara ini disahkan jurulatih skuad negara, Addie Azwan Zainal.

“Syahir (mengalami kecederaan) ACL (gred 1). Kerana (kecederaan) itu akan makan masa sedikit untuk pemulihan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Addie Azwan mengakui ketiadaan pemain berusia 20 tahun itu sedikit sebanyak mengganggu perancangan beliau untuk menghadapi kejohanan tersebut.

“Impak (ketiadaan) dia itu memberi impak besar kepada pasukan. Kehilangan dia tak boleh sertai Piala Asia Futsal sedikit sebanyak mengganggu perjalanan pasukan,” tambahnya.

Addie Azwan boleh memilih sama ada memanggil pemain baharu menggantikan Syahir Iqbal atau menggunakan kudrat pemain sedia ada.

19 pemain negara kini menyertai kem latihan pusat sebagai persediaan menghadapi Piala Asia Futsal 2026. Ini termasuk dua pemain Malaysia B-19, Aidil Zakwan Zaidi dan Faaris Amsyar Marhaidi.

Sejak dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada 2023, Syahir Iqbal menjadi tonggak utama pasukan. Antara pencapaian beliau ialah pingat gangsa Sukan SEA 2025 dan layak secara merit ke Piala Asia Futsal 2026.