Malaysia memberikan saingan terbaik sebelum tunduk di tangan skuad muda Australia dalam kempen Piala AFF B-16.
Skuad kendalian Javier Ribera membariskan kesebelasan terbaik selepas menundukkan Timor Leste dengan keputusan 5-0.
Tentangan sengi diberikan oleh Australia pada aksi kedua Kumpulan C dengan misi untuk mara ke peringkat separuh akhir kejohanan.
Malaysia B-16 memberikan tekanan hebat untuk memaksa lawan bertahan pada 15 minit pertama permainan.
Usaha keras bagaimanapun dikecewakan apabila gerakan skuad muda Socceroos memecah kebuntuan pada masa kecederaan babak pertama menerusi Amlani Tatu pada minit ke-45.
Bersambung babak kedua, pasukan muda negara cuma mengatur gerak menerusi gerakan balas pantas namun Australia B-16 kebal mengawal keadaan.
Jaguh Asia itu datang dengan deretan peluang namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol negara, Naqqiuddin.
Peluang terbaik skuad muda negara hadir pada lewat permainan namun diselamatkan oleh ketangkasan penjaga gol Australia.
Australia menjaringkan gol kedua pada masa tambahan menerusi Wilson Williams untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-0.
Australia kini memimpin carta Kumpulan C dengan 4 mata selepas dua perlawanan diikuti Malaysia dan Thailand masing-masing dengan 3 dan 1 mata.