Tidak lama dahulu, Malaysia pernah menewaskan Filipina dalam aksi Pestabola Merdeka 2024.
Filipina mencipta kejutan dengan mara ke separuh akhir ASEAN Championship 2024. Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan Indonesia 1-0 di Stadium Manahan pada 21 Disember lalu.
Penyerang KFUM Oslo, Bjorn Kristensen muncul wira dengan menyempurnakan penalti pada separuh masa kedua. Aksi terakhir Kumpulan B itu turut menyaksikan Indonesia dipaksa bermain dengan 10 pemain.
Ini selepas pengadil Jepun, Koji Takasaki bertindak melayangkan kad merah kepada bek tengah Tim Garuda, Muhammad Ferarri pada separuh masa pertama.
Kemenangan tersebut memastikan Filipina mengiringi Vietnam ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B. Filipina meraih satu kemenangan dan tiga seri sepanjang aksi kumpulan.
Menariknya, Filipina pernah menjadi mangsa Harimau Malaya dalam saingan Pestabola Merdeka 2024. Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 2-1.
Pemain pertahanan Buriram United, Jefferson Tabinas meletakkan Filipina di hadapan. Syamer Kutty Abba memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.
Kapten Terengganu FC, Safawi Rasid muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat Harimau Malaya pada separuh masa kedua.
Aksi ini turut menyaksikan pengendali Filipina, Albert Capellas membantu pasukan itu secara tidak rasmi sebelum menggalas peranan tersebut pada 10 September lalu.
Ini kerana pada ketika itu, tugas membimbing Filipina dalam mengharungi Pestabola Merdeka 2024 digalas jurulatih interim, Norman Fegidero. Fegidero menggalas tugas itu selepas jurulatih sebelumnya, Tom Saintfiet meletak jawatan.
Filipina menamatkan kempen kejohanan di tempat keempat apabila tewas 4-3 kepada Tajikistan menerusi penentuan sepakan penalti.