Malaysia dapat mengubati sedikit kekecewaan apabila muncul selaku negara Asean dengan rekod markah terbaik pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.
Skuad kendalian Kim Pan-gon terpaksa menangguhkan hajat untuk ke Piala Asia 2027 lebih awal apabila mengakhiri cabaran di tangga ketiga Kumpulan D.
Pungutan 10 mata itu bagaimanapun meletakkan Harimau Malaya selaku negara Asia Tenggara dengan persembahan terbaik pada pusingan kedua.
Skuad negara merakamkan kemenangan dua kali ke atas Chinese Taipei, satu ke atas Kyrgyzstan selain satu seri dan dua kekalahan menyaksikan 10 mata menjadi milik Malaysia.
Pasukan kebangsaan juga berjaya meledak 9 jaringan dan bolos 9 sepanjang 6 perlawanan yang diharungi.
Kedudukan Malaysia terikat dengan Indonesia yang juga meraih 10 mata namun hanya meledak 8 gol dan bolos 8 dengan dua daripada lawan peringkat kumpulan adalah wakil Asia Tenggara iaitu Filipina dan Vietnam.
Thailand berada pada kedudukan ketiga negara Asean dengan 8 mata hasil dua kemenangan, dua seri dan juga dua kekalahan namun memungut jumlah jaringan yang sama dengan Malaysia.
Vietnam mengharungi kempen penuh duka apabila hanya meraih 6 mata selain merakamkan 4 kekalahan peringkat kumpulan.
Tiga wakil Asean lain iaitu Singapura, Filipina dan Myanmar hanya memungut satu mata daripada kempen kali ini.
Indonesia bagaimanapun bakal menjadi wakil tunggal Asia Tenggara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.