Advertisements
Malaysia & Skuad Wanita Arab Saudi Sama Hebat
UltraSukan
UltraSukan
FA Malaysia

Skuad wanita Malaysia memulakan siri persahabatan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) dengan keputusan seri ketika berdepan Arab Saudi pada awal pagi Khamis.

Sebagai persiapan menghadapi AFF Women’s Cup, pasukan negara bimbingan Soleen Al Zoubi terbang ke UAE selama seminggu bagi mengadakan dua perlawanan persahabatan.

Steffi Sarge kekal mengetuai barisan Malayan Tigress pada aksi kali ini sambil penjaga gawang Sabah, Azurin Mazlan diberi peranan penting bagi mengemudi pintu gol negara.

Aksi bermula seimbang buat kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan dengan skuad negara hampir meledak gol menerusi sepakan percuma Steffi Sarge namun ditepis Mona Abdulrahman.

Arab Saudi juga memiliki peluang untuk mencetak jaringan namun pertahanan negara tetap kebal mengekang asakan tanpa henti lawan yang kini berada di ranking ke-174 dunia itu.

Separuh masa pertama tamat, Arab Saudi 0-0 Malaysia.

Kembali dari rehat, Azurin Mazlan tampil begitu cemerlang menyelamatkan dua percubaan berturut-turut dari pemain Arab Saudi ketika permainan memasuki minit ke-60.

Serangan skuad wanita negara juga berjaya dipatahkan oleh pertahanan Arab Saudi meski dengan kemasukan beberapa pemain baharu bagi menambah sengat di bahagian hadapan.

Aksi di Dubai Police Stadium berakhir dengan keputusan 0-0.

Selepas ini skuad wanita kebangsaan bakal menentang Laos pada 26 Oktober di venue yang sama sebagai persiapan bagi menghadapi AFF Women’s Cup di Kemboja pada November.