Skuad futsal Malaysia menerima kekalahan pertama pada aksi Kelayakan Futsal Asia 2024 di Uzbekistan apabila ditundukkan Iraq.
Pasukan negara turun dalam kesebelasan terbaik dengan barisan pemain seperti Saad Sani dan Ekmal Shahrin dalam kesebelasan utama.
Kedua-dua pasukan bermula dengan baik untuk saling bertukar serangan namun Iraq ternyata memiliki sedikit kelebihan.
Gol pembukaan perlawanan hadir menerusi Ghaith Arab pada minit ke-10 untuk menewaskan Zainulzahin untuk meletakkan pasukan lawan di hadapan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan kendalian Rapkhol Sainetngam dibolosi kali kedua apabila Salim Faisal meledak pada minit ke-14 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-0.
Bersambung babak kedua, giliran Malaysia mengatur gerak dan hampir memperoleh jaringan pertama namun dinafikan oleh penjaga gol lawan.
Hasrat skuad negara seakan buntu sungguhpun mampu mengekang asakan lawan.
Gol yang ditunggu tiba pada akhir perlawanan menerusi ledakan Awaluddin Nawi pada minit ke-39.
Malaysia tewas dengan keputusan 2-1.
Selepas ini, Malaysia akan bertemu tuan rumah, Uzbekistan pada Isnin, 9 Oktober 2023 dan disusuli dengan pertembungan menentang Kemboja pada Rabu, 11 Oktober 2023