Jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Juan Torres Garrido mahu anak buahnya tidak dibuai dengan memori kemenangan pertama bila bertemu China hari ini.
Perlawanan persahabatan pertama kedua-dua pasukan yang diadakan di Shanghai itu menyaksikan Malaysia meraih kemenangan 1-0 menerusi gol minit akhir Harith Haiqal Adam Afkar.
Gol tersebut meleburkan rekod tanpa kalah China ke atas Harimau Muda selama 12 tahun. Tempoh tersebut menyaksikan tuan rumah menang 14 kali dan seri tiga kali.
Walaupun mengakui ia satu permulaan baik buat Harimau Muda, Garrido mahu para pemain agar kekal fokus, menambahbaik aspek permainan mereka dan bijak menguruskan permainan.
Ini kerana tiga aspek ini merupakan kunci penting buat skuad B-23 negara untuk terus maju menjelang saingan Piala Asia B-23 yang bakal bermula pada April 2024.
“Ya, memang bagus bermula dengan kemenangan. Tapi seperti biasa, (kita) perlu sentiasa menambahbaik (aspek permainan). Jadi, kita (Malaysia) tidak boleh banyak (terbuai) dengan gangguan (kemenangan pertama.
“Ini baru satu perlawanan jadi kita kena beraksi dengan lebih konsisten. Kita mesti bersedia dengan persediaan yang dibuat pasukan lawan (China) kerana itu memang tugas kita.
“Jadi, para pemain didedahkan dengan situasi yang memerlukan mereka untuk beradaptasi. Kita cuba bermain dengan bagus seperti yang kita mahukan.
“Semasa perlawanan (hari ini), kita kena beradaptasi. Tapi matlamat kita ialah kita tidak mengubah gaya permainan kita, untuk terus memperbaiki (aspek permainan), cuba menang dan menguruskan perlawanan dengan cara yang kita mahu,” katanya kepada Nadi Arena semalam.
Malaysia bakal bertemu China buat kali kedua di Shanghai hari ini. Dua aksi persahabatan di China merupakan sebahagian daripada persiapan skuad B-23 negara menghadapi Piala Asia B-23 2024.