Kedudukan pengurus Man United, Erik ten Hag bersama kelab itu masih selamat sekurang-kurangnya untuk dua perlawanan.
Kedudukan pengurus Belanda itu dalam bahaya selepas permulaan buruk yang dihadapi The Red Devils dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024/25.
United hanya merekodkan dua kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan dalam liga. Ini termasuk kekalahan 3-0 di tangan Tottenham Hotspur.
Meskipun ramai penyokong menggesa pengurusan United untuk segera melepaskan Ten Hag, pengurusan kelab enggan bertindak secara tergesa-gesa.
Malah, ten Hag masih mendapat sokongan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) United, Omar Berrada dan pengarah sukan, Dan Ashworth.
“Saya fikir Erik (ten Hag) ialah jurulatih yang tepat untuk kita, beliau mendapat sokongan penuh kita,” katanya kepada media selepas United tewas 3-0 kepada Liverpool pada 1 September lalu.
Atas sebab itu, BBC Sport melaporkan The Red Devils perlu mempamerkan peningkatan dalam aksi Liga Europa UEFA (UEL) menentang Porto (awal pagi 4 Oktober) dan aksi liga menentang Aston Villa (6 Oktober).
Sejak pengurus legenda, Sir Alex Ferguson bersara pada 2013, United bersedia memberi masa untuk pengurus-pengurus selepasnya untuk bangkit. Perkara ini terpakai kepada David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer.
Walau bagaimanapun, situasi kali ini berbeza kerana keputusan pengurusan struktur bola sepak kelab itu dipegang oleh pemegang saham minoriti, Sir Jim Ratcliffe.
Seandainya ten Hag dilepaskan, beberapa nama dikaitkan dengan jawatan tersebut. Antara nama yang dicanang ialah Graham Potter, Eddie Howe dan Massimiliano Allegri.
Terdahulu, pengurus Belanda itu memohon penyokong agar bersabar dan memberinya masa untuk menggilap prestasi United kembali ke tahap terbaik.