Kelab gergasi England, Manchester United dilaporkan telah berhubung dengan Perodua bagu tujuan potensi penajaan.
Hal ini didedahkan sendiri oleh Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin setelah menerima sepucuk surat dari pihak kelab Manchester United baru-baru ini.
Jelas beliau lagi, surat tersebut bertujuan bagi bertanyakan persetujuan untuk memaparkan logo PERODUA di jersi dan juga sama ada syarikat tempatan itu mahu menaja pasukan tersebut.
“Baru-baru ini, saya menerima surat daripada Manchester United yang bertanya sama ada mereka boleh memaparkan logo PERODUA pada jersi mereka,” kata beliau berdasarkan laporan Buletin TV3.
“(Selain itu, surat itu bertanya) sama ada kami berminat untuk menaja mereka,” ujar beliau lagi.
Kebiasaannya, hal-hal sulit seperti ini tidak akan didedahkan kepada umum namun sebagai peminat Arsenal, beliau akui sedikit ralat dan tidak adil untuk Perodua menaja Manchester United.
“Saya biasanya tidak berkongsi perkara seperti ini secara terbuka, tetapi secara peribadi, saya sebenarnya penyokong Arsenal.”
“Kalau saya buat begitu, rasa macam tak adil untuk Arsenal,” ucap beliau secara berseloroh.
Ketika ditanya mengenai keputusan dari pertanyaan pihak Manchester United itu, Tan Sri Asmat berkata pihak beliau akan mempertimbang dahulu demi kemajuan bola sepak di Malaysia.
“Kami akan mempertimbangkannya, terutama untuk bola sepak di Malaysia,” jelas beliau.