Advertising
FA Cup: Gol Dramatik Bantu Manchester United Singkirkan Leicester City
MakanBola
Manchester United

Manchester United bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Leicester City 2-1 dalam aksi awal pusingan keempat The Emirates FA Cup.

Aksi ini menyaksikan legenda The Red Devils, Ruud van Nistelrooy kembali ke kelab itu buat kali pertama selepas meninggalkan Old Trafford pada November lalu.

Sebelum menerima tugas membimbing The Foxes, beliau membantu menstabilkan prestasi United sebelum menyerahkan tugas kepada pengganti tetap Erik ten Hag, Ruben Amorim.

Ad

Aksi ini menyaksikan Patrick Dorgu membuat debut buat United selepas tiba dari Lecce. Nistelrooy menyenaraikan pemain muda berusia 15 tahun, Jeremy Monga sebagai pemain simpanan untuk Leicester.

Separuh masa pertama menyaksikan The Foxes hampir mendahului seawal minit keenam menerusi Jordan Ayew. Malangnya, percubaan beliau berjaya diselamatkan Andre Onana.

Ad
Ad

Taktik hantaran jauh yang digunakan Leicester menyebabkan United bergelut mendapatkan bola di Old Trafford.

Ad

Dorgu hampir meraih gol pertama bersama The Red Devils pada minit ke-22 selepas menerima hantaran ke belakang Amad Diallo. Bek kiri Denmark itu hampa apabila percubaannya tersasar.

Leicester akhirnya mendahului pada minit ke-42 menerusi Bobby De Cordova-Reid. Meskipun Onana berjaya menepis percubaan awal Bilal El Khannous, Reid memastikan percubaan susulannya menerjah jaring tuan rumah.

Gol tersebut memastikan Leicester mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Amorim memasukkan pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho sebagai pengganti Dorgu.

Kemasukan pemain sayap muda Albiceleste itu mengubah momentum perlawanan memihak kepada The Red Devils. Caleb Okoli pantas mengeluarkan bola lambungan Garnacho daripada melepasi garisan gol pada minit ke-65.

Gol penyamaan yang dicari United akhirnya tiba tiga minit selepas itu. Pemain gantian, Joshua Zirkzee menyumbat gol kelimanya musim ini dengan menolak bola ke dalam gawang kosong The Foxes.

Gol tersebut menyuntik semangat The Red Devils untuk memburu gol kemenangan. Situasi ini memaksa Nistelrooy mengarahkan anak buahnya bertahan agar membawa perlawanan ke masa tambahan.

Tatkala perlawanan seakan bakal diteruskan ke masa tambahan, Harry Maguire muncul wira United pada minit ke-92. Bekas bek tengah Leicester itu menanduk bola hantaran Bruno Fernandes melepasi Mads Hermansen.

Gol tersebut memastikan kemenangan 2-1 United dan menjamin kemaraan mereka ke pusingan seterusnya. Kemenangan ini turut menebus kehampaan tuan rumah selepas dikecewakan Crystal Palace pada 2 Februari lalu.

Sofascore memilih Fernandes sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.2. Kapten The Red Devils itu mengatasi Zirkzee dan Maguire yang masing-masing meraih 7.7 dan 7.5 mata.

Selepas ini, United bertandang ke London untuk menentang Tottenham Hotspur pada 17 Februari. Leicester pula melayan kunjungan Arsenal pada 15 Februari.