Bek kiri Lecce, Patrick Dorgu semakin hampir untuk memuktamadkan perpindahan ke Manchester United.
Ini selepas wartawan sukan Itali, Gianluca di Marzio memaklumkan United dan Lecce kini berada di fasa akhir untuk memuktamadkan yuran perpindahan sebanyak £32.5 juta (RM177 juta).
Dorgu dilihat pemain yang mampu mengisi posisi bek kiri yang disifatkan bermasalah oleh pengurus The Red Devils, Ruben Amorim.
Ini kerana dua bek kiri United iaitu Luke Shaw dan Tyrell Malacia kerap mengalami kecederaan.
Meskipun Malacia sudah kembali dan membuat beberapa penampilan untuk pasukan itu, bek kiri Belanda itu memerlukan minit permainan yang kerap.
Atas sebab itu, United melihat seandainya pembelian Dorgu dapat dimuktamadkan, Malacia dapat meninggalkan kelab secara pinjaman dan kembali pada kempen pra-musim 2025/26.
Usaha The Red Devils turut dibantu dengan Lecce berusaha memuktamadkan perpindahan pengganti Dorgu. Pemain yang menjadi sasaran kelab Serie A itu pemain pertahanan Portugal, Danilo Veiga.
Veiga dilaporkan bakal melengkapkan perpindahan dari kelab Portugal, Estrela da Amadora dengan yuran perpindahan £1.5 juta (RM8.2 juta).
Usaha perpindahan United semakin lancar selepas kelab memilih meminjamkan beberapa pemain. Antara pemain yang meninggalkan Old Trafford secara pinjaman ialah Antony dan Ethan Wheatley.
The Red Devils juga dalam proses menguruskan perpindahan Marcus Rashford. Rashford kini dikaitkan dengan perpindahan pinjaman ke Barcelona.