Jurulatih Manchester United, Ruben Amorim tidak terkejut dengan kekalahan terbaru yang dialami pasukan itu.
United tewas lagi buat kali keenam untuk musim 2024/25 apabila diaibkan Nottingham Forest 3-2 di Old Trafford. Nikola Milenkovic, Morgan Gibbs-White dan Chris Wood mencetak nama sebagai penjaring buat pasukan pelawat.
The Red Devils membalas menerusi gol Rasmus Hojlund dan kapten, Bruno Fernandes. Kekalahan ini menyaksikan United kini di tangga ke-13 dengan 19 mata, kedudukan paling rendah sejak musim 1986/87.
Amorim mengakui tidak terkejut dengan kekalahan yang dialaminya kerana beliau mengambil alih tugas membimbing United pada awal November lalu.
Pada masa sama, bekas jurulatih Sporting Lisbon itu memaklumkan beliau akan terus memperbaiki kelemahan United agar kembali cemerlang di atas padang.
“Ini bukan satu kejutan kerana kita datang pada pertengahan banyak perlawanan tetapi kita sudah mengetahuinya. Kita akan menghadapi (kesukaran) dalam pengembaraan kita, jika anda mempunyai sedikit pengalaman dalam bola sepak, anda akan memahami detik-detik ini.
“Ia memang mengecewakan buat para penyokong. Ia memang sukar untuk melihat perlawanan sebegini selepas banyak kali berdepan kekecewaan.
Kita di sini kerana kita ada tugas, kita akan lakukan cara dan perkara yang sama. Dan kita akan tambah baik pasukan,” katanya kepada Sky Sports.
Selepas ini, Amorim dan United bakal berdepan dua perlawanan sukar. Saingan Liga Europa UEFA (UEL) menyaksikan pasukan itu akan bertemu dengan Viktoria Plzen pada 13 Disember.
Ini disusuli aksi terbaru liga menentang musuh setempat, Manchester City pada 16 Disember.