Advertising
EPL: Manchester United Dimalukan Nottingham Forest
MakanBola
Manchester United

Hajat Manchester United untuk kembali meraih kemenangan dalam liga musnah apabila tewas 3-2 kepada Nottingham Forest.

United mahu bangkit segera selepas tewas 2-0 kepada musuh tradisi, Arsenal di Stadium Emirates. Forest pula mahu melupakan kekalahan 3-0 di tangan musuh setempat United, Manchester United.

Ruben Amorim memberi peluang kepada Leny Yoro membuat penampilan pertama bersama The Red Devils. Pengendali Forest, Nuno Espirito Santo pula terus memilih Chris Wood sebagai sandaran gol mereka.

Ad

Pelawat tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan di Old Trafford. Bek tengah Serbia, Nikola Milenkovic menanduk hantaran Eliott Anderson yang menerjah jaring United seawal minit kedua.

Tersentak, The Red Devils mula memberi tekanan kepada pelawat menerusi Rasmus Hojlund, Alejandro Garnacho dan Bruno Fernandes.

Ad
Ad

United berjaya meraih gol penyamaan pada minit ke-19 menerusi Hojlund. Penjaga gol Forest, Mats Selz berjaya menafikan percubaan awal Garnacho tetapi tidak berupaya menghalang percubaan susulan penyerang Denmark itu.

Ad

Forest hampir mendahului lapan minit selepas itu menerusi Jota Silva. Malangnya, percubaan bekas pemain sayap Vitoria Guimaraes itu hanya mengenai palang.

Sels kemudiannya menjadi penyelamat Forest pada minit ke-41. Bekas penjaga gol Newcastle United itu berjaya menafikan sepakan percuma Fernandes selepas ia terkena palang.

Kedua-dua pasukan terus berusaha memburu gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Forest sekali lagi mengecewakan penyokong setia The Red Devils di Old Trafford. Sepakan jarak jauh Morgan Gibbs-White kembali meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-47.

Tujuh minit kemudian, giliran Gibbs-White menjadi pencipta gol. Hantarannya mudah ditanduk Chris Wood untuk memastikan Forest mendahului 3-1.

Gol tersebut turut menjadikan penyerang New Zealand itu sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Forest dengan 25 gol. Rekod tersebut membolehkan Wood memintas pemegang rekod sebelumnya, Bryan Roy.

Situasi ini mendorong Amorim membawa masuk Marcus Rashford menggantikan Garnacho pada minit ke-59. Penyokong United kembali ceria apabila Fernandes meledakkan gol kedua pasukan itu dua minit selepas itu.

Peluang terbaik The Red Devils menyamakan kedudukan hadir menerusi Diogo Dalot pada minit ke-80. Bek kanan Portugal itu hampa apabila tandukannya mudah diselamatkan Sels.

United terus memberi tekanan kepada Forest tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini kemenangan pertama Forest ke atas tuan rumah dalam tempoh 30 tahun.

Keputusan ini melonjakkan pasukan itu ke tangga kelima liga dengan 25 mata. United pula kini di tangga ke-13 dengan 19 mata, kedudukan paling rendah mereka sejak musim 1986/87.

Gibbs-White dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Beliau mendapat markah 7.8, 0.2 mata di hadapan Milenkovic.

Selepas ini, Forest bersiap sedia melayan kunjungan Aston Villa di City Ground pada 15 Disember. United pula kembali mengharungi kempen Liga Europa UEFA (UEL) dengan menentang kelab Republik Czech, Viktoria Plzen pada 13 Disember.