Selepas dipecat sebagai jurulatih Thailand semalam, Mano Polking dikatakan telah meninggalkan negara itu – satu keputusan yang membuatkan penyokong Thailand tertanya-tanya.
Ada yang menyangka tindakannya itu ada kaitan dengan khabar angin beliau dikaitkan dengan kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC.
Tidak lama selepas berita pemecatannya timbul, Polking dikatakan sudah bersetuju untuk menjadi jurulatih kelab tersebut.
Jurulatih berdarah Brazil-Jerman itu bukan asing dengan Ho Chi Minh City kerana pernah melatih kelab itu dari 2020 hingga 2021.
Bagaimanapun, Polking menafikan khabar angin tersebut. Sebaliknya, beliau mahu meninggalkan Thailand kerana mahu berehat seketika sebelum kembali ke arena bola sepak.
“Terima kasih Thailand! Hanya bersyukur dengan perjalanan yang dilalui selama dua tahun! Berehat itu penting untuk mengecas kembali tenaga dan akan kembali bersedia untuk cabaran baru,” katanya di X bagi menjawab khabar angin yang timbul semalam.
Polking bertanggungjawab memimpin skuad Gajah Perang menjulang Piala AFF edisi 2020 dan 2022.
Selain Thailand dan Ho Chi Minh City, beliau juga pernah melatih Bangkok United, Army United dan Suphanburi.